
Disebabkan watak Tengku Haidar dalam slot Lestari TV3 berjudul ‘Sindarela’, nama pelakon Remy Ishak mula dikenali oleh penggemar drama Melayu. Remy telah berjaya menghidupkan watak Tengku Haidar dalam drama bersiri ‘Sindarela’. Sedikit sebanyak watak Tengku Haidar banyak membantu dan memberi impak positif pada karier Remy. Ini merupakan satu petanda yang baik untuk Remy melangkah lebih jauh dalam mengharungi dunia hiburan. Jika dahulu Remy hanyalah seorang pekerja di sebuah hotel berhampiran KLCC tetapi kini dia sudah pun bergelar seorang artis. Tawaran berlakon dalam drama mahupun filem mula melimpah ruah. “Remy rasa bersyukur sangat-sangat kerana peminat dah mula kenal dengan Remy berbanding tahun lalu. Bagi Remy ini adalah satu Rahmat dari Allah untuk Remy,” ujarnya. Menurut Remy, sebelum dia berlakon dalam drama ‘Sindarela’, dia pernah membintangi filem ‘Anak Halal’ dan ‘Aquarium Cinta’, tapi yang keluar hanyalah filem ‘Anak Halal’. Katanya lagi filem ‘Aquarium Cinta’ masih lagi dalam pembikinan, para pelakon yang turut terlibat dipanggil untuk membuat sambungannya. Selain itu, Remy juga terlibat dalam beberapa iklan tv. “Remy mula-mula terlibat dalam bidang seni apabila Remy menghadiri uji bakat untuk filem ‘Aquarium Cinta’ dan Remy diterima... Sejak dari itu Remy tidak putus-putus terima tawaran berlakon,” ujar jejaka kacak yang semakin diminati ini. |