
Lama menyepi bukan bermakna terus mendiamkan diri tanpa ada apa-apa perancangan. Bagi Kat yang lahir dari program realiti TV ‘Mentor’ dia kini sibuk dalam pembikinan 'single' terbarunya. Lama juga tidak mendengar cerita dari penyanyi bersuara serak basah ini sehinggalah kami terserempak dengan Kat semasa majlis ulangtahun abang iparnya yang juga merupakan penyanyi rock terkenal Amy Search. Ketika mengulas mengenai perkembangan kariernya Kat menyatakan dia gembira kerana akhirnya dapat mengeluarkan album. “Kat dalam proses pembikinan 'single' yang memuatkan empat buah lagu. Kebanyakan lagu dalam single ini adalah sentuhan dari Edry Hashim. Bulan Ogos ini Kat akan menjalani penggambaran klip video untuk 'single' kali ini,” ujar Kat. Sempat juga kami merisik siapa jejaka yang Kat bawa semasa ulangtahun Amy itu. Sambil tersenyum manja dia tidak berselindung mengenai kekasih hatinya itu. “Memang itu kekasih hati Kat dan kami suka sama suka. Tapi Kat tidak berani cakap apa-apa kerana kalau sudah jodoh maka akan adalah nanti jemputan dari kami.” Khabarnya teman hati Kat itu seseorang yang bergelar Dato’? Kata Kat, “Memang Kat tidak nafikan dia ‘somebody’ tetapi biarlah pangkat dia menjadi rahsia dahulu.” Kat juga menyatakan cukuplah jika sekadar memanggil kekasihnya itu dengan panggilan Dato’ N sahaja. Kami juga difahamkan Dato’ N adalah seorang usahawan yang mempunyai perniagaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kat juga menyatakan jarak usia antara mereka berdua bukanlah penghalang dalam perhubungan walaupun ada beberapa pihak yang kurang bersetuju dengan percintaan mereka. |